Saturday 14 May 2016

PERANAN GURU DALAM PELAKSANAAN INOVASI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH



Definisi Inovatif  

Kemampuan membina transformasi atau mencipta sesuatu yang baru sama ada dalam bentuk sumber atau kaedah yang relevan dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik.


Apakah maksud 'guru inovatif'?

Guru yang mempunyai kebolehan melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis, kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. 

Dipetik daripada ucapan Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin,                       
Timbalan Perdana Menteri, semasa sambutan hari guru
(16 Mei 2012) di Bandar Diraja Perak Darul Ridzuan.  


Peranan Guru Inovatif 

- Dapat mentransformasikan proses pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja.  
- Melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sesuai dengan misi dan visi sekolah serta mampu memenuhi matlamat pendidikan negara ke arah meningkatkan kualiti pendidikan.
- Menguasai dan peka terhadap perkembangan dalam bidang pedagogi.
- Sentiasa memikirkan cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari sekolah.


Ciri-ciri Guru Berinovasi

Guru yang berkualiti adalah guru yang berinovasi. Antara ciri-ciri guru berinovasi ialah guru mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Banyak cabaran yang ditempuhi oleh generasi muda terutamanya pada era globalisasi ini. Sudah sepatutnya guru harus mampu untuk menyediakan murid-murid agar mereka dapat mengharungi arus globalisasi ini.
Ciri kedua, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan yang lebih berkesan.
Ciri lain yang disebut oleh Tan Sri Muhyiddin adalah memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata. uru harus dapat mendedahkan kepada murid tentang kaitan ilmu yang pelajari di dalam kelas dengan dunia nyata misalnya. Misalnya, dengan menggunakan kaedah penyelesaian masalah dengan masalah yang menyerupai situasi sebenar. guru tidak seharusnya sekadar menyampaikan apa yang terdapat di dalam buku teks.
            Guru ini bersifat all-rounded di mana seperti yang diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, guru berinovatif ini guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata.
Guru seumpama ini juga sentiasa mengubah kaedah pengajarannya mengikut peredaran masa. Contohnya pada masa sekarang, teknologi adalah salah satu aspek yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan. Oleh itu, sekiranya guru tersebut adalah seorang penginovasi ini pasti guru tersebut akan melengkapkan pelajarnya dengan kemahiran teknologi.


Peranan Guru dalam Pelaksanaan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran
 
Guru sentiasa perlu melengkapkan diri dengan maklumat-maklumat terkini dan juga kaedah-kaedah pengajaran yang baru dan sesuai. Antara ciri guru berinovasi adalah mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.
Hal ini sejajar dengan pandangan Noriati A. Rashid dalam Guru dan Cabaran Semasa iaitu guru-guru perlu memiliki keupayaan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang mampu melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif. Di samping itu, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan.  Menurut Esah Sulaiman dalam Amalan Profesionalisme Perguruan, guru perlu cekap mengubahsuai pengajaran, prihatin terhadap keperluan pelajar dan jangan terlalu terikat dengan sesuatu keadaan atau bahan tertentu.
Selain itu, satu daripada tanggungjawab guru kepada murid adalah menjadi kreatif dan inovatif. Syed Ismail bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, 2010, mengemukakan bahawa guru yang kreatif dan inovatif dapat mencetuskan idea baharu dan dapat menterjemahkan kehendak dan matlamat kurikulum dengan menggunakan kaedah, pendekatan dan strategi pengajaran serta pembelajaran yang kreatif dan inovatif.”
Noriati A. Rashid, 2009 menyatakan bahawa guru-guru tidak sepatutnya meneruskan pengajarannya sedangkan ada dalam kalangan muridnya yang didapati sudah hilang tumpuan.  Halizah Hamzah, 2009, pula berpadangan bahawa guru seharusnya melaksanakan kaedah atau teknik yang baharu, efektif dan yang dapat merangsang minat murid.  Kepelbagaian aktivti bukan sekadar berupaya menarik minat murid bahkan juga boleh mewujudkan suatu situasi di mana murid tertunggu-tunggu untuk melihat aktiviti berikutnya.
Pengajaran dan pembelajaran juga tidak seharusnya hanya tertumpu di dalam kelas, sejajar dengan inovasi dalam kurikulum bilik darjah, takrif bilik darjah juga adalah semakin luas dan tidak boleh dihadkan dalam ruang empat dinding seperti pada abad ke-20. Dengan adanya inovasi seperti ini akan menjadikan pembelajaran semakin menarik dan pelajar tidak mudah bosan dan melahirkan generasi pelajar yang aktif, kreatif, motivatif dan dinamik

Thursday 28 April 2016

PENULISAN REFLEKSI PRAKTIKUM




1.0    PENGENALAN

1.1     Pendahuluan
Menurut Hanipah (2004) refleksi mengikut sesetengah orang adalah satu ulasan terhadap amalan seseorang untuk memastikan ketepatan kepada satu-satu peraturan yang telah ditentukan. Refleksi juga boleh dilihat sebagai menjadikan satu situasi bermasalah dalam amalan seseorang itu sebagai satu cara memperoleh pemahaman atau pengertian baru dalam amalannya. Selain itu, Hanipah juga mendefinisikan refleksi sebagai satu proses merenung, menganalisis dan mencari alasan dan seterusnya membuat cadangan dan tindakan untuk memperbaiki diri yang dilakukan secara berterusan.
Amalan refleksi ini diperkenalkan oleh Donald Schon dalam bukunya “The Reflective Practitioner” dalam  tahun 1983. Menurut beliau, amalan refleksi merangkumi pengalaman dalam minda apabila menggunakan pengetahuan teori yang berubah menjadi aplikasi praktikal. Secara amnya, refleksi adalah pengalaman hidup peribadi seseorang itu. Oleh itu, dalam konteks perguruan kebolehan membuat transformasi dan refleksi membolehkan guru sentiasa mempelajari dan memahami sesuatu yang baru hasil daripada apa yang boleh dilaluinya.
Menurut Shulman (1987) dalam konteks perguruan, kebolehan membuat transformasi dan refleksi membolehkan guru sentiasa mempelajari dan memahami sesuatu yang baru hasil daripada apa yang telah dilaluinya. Hal ini menjadikan refleksi adalah suatu proses yang penting dalam kitaran pembelajaran bagi kemajuan profesion keguruan. Pengalaman pengajaran yang diperoleh oleh guru-guru sejak mereka mula berkhidmat adalah amat bernilai dan boleh dikongsi untuk manfaat semua guru. Berasaskan kaedah yang sistematik dalam refleksi, pengalaman tersebut dapat dijadikan pengajaran dan membawa pengertian kepada semua guru.
Refleksi tersebut akan memberi input yang berharga untuk memperbaiki diri dan peribadi seorang guru. Proses mengingat kembali faktor-faktor penyebab dan hasil tindakan guru-guru akan memberi pengertian kepada mereka untuk mengelak perkara-perkara yang kurang berkesan dan memperbaiki segala tindakan mereka. Guru-guru yang cekap dalam mengamalkan refleksi juga akan mengalami proses pembelajaran dan pengajaran yang lebih bermutu.
Menurut Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012), pengajaran dapat didefinisikan sebagai satu pelaksanaan yang melibatkan usaha guru untuk membimbing, menggalak dan  memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar demi memperoleh ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran. Dalam pengajaran, terdapat beberapa ciri yang penting antaranya ialah penglibatan guru sebagai tenaga pengajar dan pelajar sebagai orang yang belajar. Kedua-dua aspek ini penting bagi mewujudkan proses pembelajaran.

1.2     Latar Belakang
Pada hari Isnin bertarikh 6 Julai 2015, saya melaporkan diri di pejabat sekolah dan berjumpa dengan pengetua iaitu Encik Hazawawi bin Yusof serta penolong kanan 1 iaitu Encik Rosli bin Mat Isa. Saya menyerahkan borang lapor diri untuk di tanda tangan oleh pengetua sebagai pengesahan bahawa saya di terima untuk menjalani latihan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward selama 16 minggu bermula 6 Julai 2015 sehingga 31 Oktober 2015.
Setelah selesai berjumpa dengan pengetua dan penolong kanan, saya diarahkan untuk bertemu dengan penolong kanan sesi petang kerana saya diberi tugas untuk mengajar pada sesi petang. Saya berjumpa dengan penolong kanan sesi petang iaitu Encik Mohd Noor bin Ramli untuk mengetahui mengenai jadual waktu mengajar. Pada hari pertama saya tidak masuk ke kelas untuk mengajar kerana pihak sekolah tidak lagi memberikan saya jadual waktu. Hal ini kerana terdapat beberapa perkara yang saya perlu selesaikan terlebih dahulu memandangkan jadual masih belum selesai di cetak.
Penolong kanan sesi petang sempat memberikan taklimat ringkas kepada kami berkaitan sekolah tersebut seperti, persekitaran sekolah, pelajar, peraturan sekolah, guru-guru dan suasana pembelajaran di sekolah tersebut. Kemudian penyelia petang menerangkan serba sedikit mengenai takwin sekolah dan jadual waktu pada bulan ramadhan adalah berbeza daripada  bulan biasa. Di samping itu, beliau memaklumkan guru yang akan menjadi mentor saya sepanjang menjalani latihan mengajar di sekolah tersebut. Guru pembimbing tersebut adalah Puan Nur Hidayah binti Abdul Aziz.
Seterusnya saya dan rakan di arahkan berjumpa Cikgu Ahmad Mazlan di makmal komputer untuk menguruskan berkaitan pendaftaran sistem kehadiran. Kami mengisi maklumat diri untuk didaftarkan dalam sistem tersebut sebagai pengesahan sebagai petugas di sekolah tersebut. Setelah selesai perkara ini kami sempat menghadiri mesyuarat sekolah yang melibatkan semua guru di sekolah itu. Oleh sebab kami sudah sah melaporkan diri di sekolah itu secara langsungnya kami juga perlu menghadirkan diri ke bilik mesyuarat. Selepas selesai mesyuarat tersebut, kami dibenarkan pulang dan akan kembali bertugas pada keesokan harinya.
2.0    PENULISAN REFLEKSI PRAKTIKUM

2.1     Bahagian 1: Masalah Semasa Pengajaran dan Pembelajaran
2.1.1   Pengurusan Bilik Darjah
Pada hari Isnin bertarikh 17 Ogos 2015 guru praktikum telah diselia buat pertama kali oleh guru pembimbing iaitu Puan Nurul Hidayah. Kelas penyeliaan ini ialah kelas 2 UKM dan guru praktikum diselia pada jam 4.30-5.35 tengah hari. Bilangan pelajar seramai 24 orang daripada 28 orang pelajar. Pada hari tersebut guru praktikum telah mengajar komsas iaitu Cerpen  Anak Penggunting Rambut dalam Antologi Gema Sepi Gadis Genius. Masalah yang dikenal pasti dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru praktikum ialah berkaitan pengurusan bilik darjah. Menurut tindak balas oleh guru pembimbing berkaitan pengajaran, guru praktikum mulakan pengajaran di dalam kelas dalam keadaan kelas yang tidak bersih dan meja tidak teratur. Hal ini melibatkan kemahiran pengurusan bilik darjah saya amat lemah kerana sebagai seorang guru perlulah bersedia dari segi mental dan fizikal.
Persekitaran bilik darjah yang mendorong pengajaran dan pembelajaran tidak wujud begitu sahaja. Seseorang guru hendaklah merancang serta melaksanakan kegiatan yang boleh mewujudkan persekitaran dan iklim yang sedemikian. Suasana bilik darjah yang harmoni membantu peningkatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna adalah menjadi tanggungjawab guru untuk membentuknya. Iklim dalam bilik darjah yang baik biasanya dikaitkan dengan kepatuhan dan keseronokan murid dan guru dalam bilik darjah tersebut. Dari aspek pengurusan iklim fizikal, guru hendaklah memastikan bilik darjah itu sentiasa bersih dan kerusi mejanya teratur.
Kebersihan berkait rapat dengan kemahiran pengurusan bilik darjah secara sistematik. Hal ini sangat penting kerana untuk menarik minat murid dalam memulakan pembelajaran di mana guru mestilah mewujudkan suasana yang harmoni dan konduksif. Hal ini dilihat bahawa guru praktikum tidak menitikberatkan mengenai kebersihan dan susun atur meja di dalam kelas sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran. Guru praktikum sepatutnya mengarah murid untuk membersihkan kelas sebelum memulakan pengajaran dan memastikan keadaan kelas teratur dan kemas.

2.1.2   Soalan Guru Tidak Jelas
Masalah yang kedua dikenal pasti dalam proses pengajaran dan pembelajaran saya pada penyeliaan pertama oleh guru pembimbing ialah berkaitan penyoalan. Guru pembimbing menyatakan bahasa sekiranya guru ingin mengemukakan soalan kepada murid, soalan yang dikemukakan haruslah jelas agar murid mudah memahami setiap soalan yang ditanyakan. Masalah ini berkaitan dengan kemahiran penyoalan guru itu sendiri. Teknik penyoalan haruslah dikuasai sebaik mungkin oleh guru kerana ia sangat penting dan mempunyai peranan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Penyoalan adalah apa jua pernyataan atau perlakuan yang memerlukan maklum balas murid. Selain daripada berbentuk lisan, penyoalan juga boleh dilakukan melalui ekspresi muka, isyarat dan konteks fizikal. Penyoalan dalam pengajaran dan pembelajaran bertujuan tertentu. Terdapat beberapa tujuan guru menyoal murid antaranya ialah untuk menilai pengetahuan sedia ada, menimbulkan minat, membina pemahaman yang mendalam di samping membina idealisme, sikap dan penghargaan, memantapkan pembelajaran, merangsang pemikiran kritis dan sebagainya.
Perkara ini dapat dilihat bahawa soalan yang guru praktikum kemukakan kurang difahami oleh murid kerana menurut guru pembimbing, guru praktikum tidak menggunakan teknik penyoalan yang sebetulnya. Di samping itu, guru tidak membuka ruang soalan kepada pelajar tetapi bersoal jawab secara menyeluruh. Hal ini menyebabkan terdapat gangguan apabila murid menjawab soalan tersebut secara beramai-ramai dan keadaan kelas menjadi tidak terkawal dan bising dengan pelbagai jawapan.

2.1.3   Guru Tidak Menyediakan Latihan Pengukuhan
Masalah yang seterusnya berdasarkan  komen daripada guru pembimbing pada penyeliaan pertama ialah berkaitan bahan pengajaran. Guru tidak menyediakan soalan pengukuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Pengukuhan boleh didefinisikan sebagai aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh guru selepas pengajaran dan pembelajaran dalam pelbagai bentuk latihan. Cara atau bentuk latihan pengukuhan yang diberikan kepada murid-murid adalah sama. Setiap murid dikehendaki menjawab atau melakukan dengan menerima latihan atau tugasan yang diberikan oleh guru dalam bentuk yang sama dan tiada perbezaan. Daripada situlah kita boleh melihat perbezaan murid mana yang dapat menguasai pengajaran dan pembelajaran dengan baik. Biasanya, aktiviti pengayaan juga terdapat dalam buku teks sebagai aktiviti pengukuhan selepas guru sudah mengajar kemahiran asas.
Pada pengajaran dan pembelajaran ini, guru hanya melaksanakan aktiviti semasa di dalam kelas sahaja tanpa memberikan soalan latihan pengukuhan kepada murid untuk dibuat di rumah sebagai kerja sekolah. Masalah ini dinyatakan oleh guru pembimbing. Beliau menasihati agar masalah ini tidak sepatutnya berlaku kerana latihan pengukuhan ini sangat penting kepada murid kerana aktiviti pengukuhan bertujuan untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid. Contoh aktiviti pengukuhan yang boleh dijalankan adalah seperti memberi latihan yang lebih mencabar, memberi banyak latihan dalam pelbagai bentuk, melatih murid menyampaikan maklumat dalam pelbagai bentuk grafik seperti peta minda, carta organisasi dan rajah, melatih murid membuat nota, menjalankan latih tubi dan melatih murid mengenal pasti idea utama.

2.1.4   Guru Tidak Melibatkan Semua Murid
Penyeliaan oleh guru pembimbing buat kali kedua ialah pada minggu berikutnya iaitu pada hari Isnin bertarikh 24 Ogos 2015. Pada hari tersebut, guru praktikum telah mengajar karangan yang bertajuk Langkah-langkah Memupuk Minat Membaca. Objektif pembelajaran pada hari ini ialah, pada akhir pelajaran murid dapat menyatakan sekurang-kurangnya satu isi berserta contoh secara lisan. Di samping itu, murid dapat menulis satu perenggan karangan tentang langkah memupuk minat membaca dengan menggunakan teknik IMPAK. Pada pengajaran dan pembelajaran pada hari ini, guru praktikum telah menggunakan video dan lembaran kerja.
Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ini, guru praktikum telah menerima teguran daripada guru pembimbing bahawa pengajaran guru praktikum tidak merangsang penglibatan semua murid secara aktif. Hal ini kerana guru praktikum lebih banyak menerang dan menjelaskan manakala murid hanya mendengar. Dan tiada komunikasi dua hala antara guru dengan murid. Tambahan lagi guru praktikum hanya memberikan perhatian kepada murid yang duduk di hadapan serta di tengah sahaja tanpa pedulikan murid yang duduk di belakang dan sebelah tepi. Guru pembimbing menasihati agar menggalakkan penyertaan semua murid di dalam kelas dan kerap kali bertanya kepada murid yang pendiam.
Di samping itu, guru praktikum dikatakan tidak prihatin terhadap murid yang pendiam dan hanya membiarkan mereka hanyut dalam dunia mereka sendiri. Hal ini sepatutnya tidak terjadi kerana guru praktikum mestilah bertanggungjawab untuk menguasai kesemua muridnya agar mereka tidak ketinggalan dalam pengajaran dan pembelajaran pada hari tersebut. Guru praktikum melaksanakan beberapa perkara dalam merangsang penglibatan murid namun ia tidak mendapat sambutan yang baik daripada murid. Hal ini mungkin persediaan pelajar tiada dan menyebabkan mereka hanya memberi perhatian kepada pengajaran.

2.1.5   Guru Terlalu Bergantung pada Nota Semasa Pengajaran dan Pembelajaran
Pada 25 Ogos 2015 pensyarah akan menyelia guru praktikum buat kali pertama. Hari tersebut guru praktikum mengajar cerpen ‘Warkah Daripada Ibu’ dalam Antologi Gema Sepi Gadis Genius. Objektif pembelajaran pada hari ini ialah pada akhir pelajaran, murid dapat menjelaskan sinopsis cerpen ‘Warkah Daripada Ibu’ secara lisan. Di samping itu juga menghuraikan sekurang-kurangnya dua watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerpen secara tulisan. Masalah yang ditegur oleh penyelia ialah berkaitan penggunaan nota semasa sesi penerangan kepada murid.
Guru praktikum dikatakan terlalu bergantung pada nota semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pensyarah menasihati agar perkara ini tidak terlalu kelihatan ketara bahawa guru mengajar berpandukan nota. Hal ini kerana perkata tersebut menampakkan guru praktikum cetek ilmu dan tidak yakin dengan ilmu di dada sehinggakan perlu membaca nota semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru seharusnya sudah mahir dengan bidang yang ingin diajar kepada murid di dalam kelasa agar tidak terlalu melihat dan membaca nota tersebut semasa mengajar murid. Di samping itu, guru praktikum kelihatan tidak mempunyai ilmu yang mendalam terhadap topik pengajaran pada hari tersebut kerana sesi penerangan tersekat-sekat akibat terlalu bergantung pada nota yang telah di tulis sebagai rujukan sendiri.  

2.2     Bahagian 2: Punca-punca Masalah Berlaku
2.2.1   Kesuntukan Masa
Masalah pengurusan kelas iaitu mengenai kebersihan di dalam kelas ini berlaku kerana guru praktikum terlalu mengejar masa untuk memastikan apa yang telah dirancang untuk pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan sebagaimana yang telah tertulis dalam rancangan pengajaran harian. Hai ini demikian kerana jika guru praktikum mengambil masa yang lebih untuk murid membersihkan kelas sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran pastinya sesi pengajaran akan bermula lewat dan ini telah menyebabkan masa untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran telah berkurang. Jika ini berlaku guru praktikum risau sekiranya fasa dalam rancangan pengajaran harian tersebut terpaksa di ubah.
Selain itu, masalah ini wujud kerana guru praktikum lebih mementingkan pengajaran semata-mata tanpa mengambil kira persekitaran kelas. Hal ini berkaitan dengan kemahiran guru terhadap pengurusan bilik darjah. Berdasarkan masalah yang wujud itu berpunca daripada sikap guru praktikum sendiri yang tiada kemahiran berkaitan pengurusan bilik darjah. Di samping itu, guru praktikal tidak menitikberatkan mengenai kebersihan kelas sehingga menyebabkan keadaan kelas kotor dan tidak teratur. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa masalah ini berlaku kerana faktor masa dan sikap guru praktikum sendiri.

2.2.2   Guru Tidak Menggunakan Teknik Penyoalan yang Betul
Masalah mengenai soalan guru tidak jelas adalah berpunca daripada guru praktikum tidak menggunakan teknik penyoalan yang berkesan semasa sesi soal jawab dengan murid. Guru praktikum mengajukan soalan secara umum dan tidak memfokuskan kepada topik perbincangan. Hal ini menyebabkan berlaku kekeliruan kepada murid dan ini disebabkan oleh guru praktikum itu sendiri yang tidak menguasai teknik penyoalan yang berkesan dan dapat di terima oleh murid. Murid tidak dapat mengesan apakah sebenarnya yang menjadi tumpuan oleh soalan guru itu.
Perkara ini juga berlaku disebabkan ruang masa yang singkat diberikan kepada murid untuk menjawab soalan dan menyebabkan mereka kurang keyakinan dan berasa takut untuk mengemukakan jawapan atau pandangan terhadap pertanyaan yang diajukan oleh guru praktikum. Guru praktikum juga tidak mengajukan soalan secara sukarela kepada murid dan ini menyebabkan kan soalan-soalan yang di ajukan tidak mendapat sambutan yang baik oleh semua murid.
2.2.3   Tahap Kesediaan Guru dalam Pengajaran
Masalah guru praktikum tidak menyediakan latihan pengukuhan berdasarkan soalan PT3 ialah berpunca daripada tahap kesediaan guru itu sendiri. Hal ini kerana tahap kesediaan guru praktikum pada fasa pengukuhan dalam rancangan pengajaran hariannya adalah lemah. Guru praktikum tidak menitikberatkan fasa tersebut kerana guru beranggapan bahawa soalan yang disediakan semasa latihan dalam kelas sudah mencukupi. Oleh sebab tanggapan guru praktikum sebegitu, guru tidak menyediakan bahan bantu mengajar yang sepatutnya dan bersesuaian dengan topik pengajaran dan pembelajaran untuk diberikan kepada murid sebagai latihan pengukuhan.
Di samping itu, guru praktikum hanya bergantung pada sesi pengajaran tanpa berusaha untuk menilai kefahaman murid melalui aktiviti pengukuhan selepas pengajaran. Hal ini di sebabkan oleh sikap guru yang tidak bersedia terhadap fasa tersebut untuk aktiviti pengukuhan. Guru juga kurang memberi perhatian terhadap keberkesanan pengajarannya melalui aktiviti pengukuhan. Hal ini berlaku kerana guru merasa dengan adanya fasa penutup yang meminta murid membuat rumusan terhadap pembelajaran telah cukup menunjukkan murid itu faham terhadap pembelajaran pada hari tersebut.

2.2.4   Kedudukan Murid Berkelompok
Masalah guru tidak melibatkan semua murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan di dalam kelas tersebut. Guru dikatakan hanya memberi perhatian kepada murid yang berada di hadapan dan tengah sahaja. Murid yang duduk di hadapan dan tengah sudah semestinya murid yang pandai dan menyerlah serta banyak bertanya. Malah murid yang lemah dan pendiam serta tidak banyak bercakap duduk di bahagian tepi dan belakang kelas. Hal demikianlah yang menyebabkan masalah ini timbul kerana kedudukan murid yang berkelompok dan mengasingkan murid yang pandai dan lemah.
Di samping itu, guru praktikum tidak mengubah tempat murid yang lemah dan murid yang pandai agar duduk secara bercampur dan berkumpulan. Peranan ini sepatutnya di ambil kira oleh guru praktikum agar masalah kedudukan murid berkelompok tidak berlaku dan murid kurang pandai tidak akan berasa dirinya tersisih.

2.2.5   Guru Tidak Menguasai Ilmu Secara Menyeluruh
Masalah guru terlalu bergantung pada nota semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas adalah berpunca daripada guru praktikum itu sendiri di mana guru praktikum tidak menguasai ilmu dan topik yang diajarkan kepada murid secara menyeluruh. Guru sentiasa melihat dan membaca nota di tangan dan keadaan ini dilihat tidak profesional kerana guru praktikum kelihatan tidak yakin dengan ilmu yang ingin di curahkan kepada murid. Keadaan sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana guru yang ingin mencurahkan ilmu kepada murid seharusnya menguasai terlebih dahulu sesuatu ilmu dan topik yang ingin diajar kepada murid.
Selain itu, masalah ini disebabkan tahap keyakinan  guru terhadap diri sendiri lemah sehinggakan terpaksa menggunakan nota dalam sesi penerangan semasa pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, guru tidak menghafal ilmu yang ingin dikongsi kepada murid. Keadaan ini menyebabkan guru lupa apa yang ingin di sampaikan semasa sesi penerangan berlangsung dan menyebabkan guru praktikum terpaksa melihat nota.
2.3     Bahagian 3: Langkah Penambahbaikan yang Disarankan
2.3.1   Pengurusan Bilik Darjah Secara Sistematik
Berdasarkan masalah yang timbul berkaitan pengurusan bilik darjah ini guru pembimbing menyarankan agar guru praktikum perlu memainkan peranan untuk mewujudkan bilik darjah konduksif dengan pengurusan secara sistematik. Hal ini kerana guru memainkan peranan sebagai pengurus di mana guru praktikum perlu mengurus rutin bilik darjah supaya murid-murid menjalankan tugas ikut jadual bertugas. Guru praktikum juga hendaklah mengurus bilik darjah agar menjadi lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Seterusnya untuk melaksanakan peranan pengurus yang berkesan, guru praktikum perlu tahu iklim persekitaran bilik darjah dan apakah faktor-faktor yang boleh membantu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat.  Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada suasana tersebut.  Antaranya adalah susunan fizikal dan tempat duduk bilik darjah dan persekitaran psikososial semasa di dalam bilik darjah. Oleh itu, menurut guru pembimbing, guru praktikum perlu memastikan kelas bersih dan kerusi serta meja berada dalm keadaan yang teratur. Dengan ini, guru praktikum perlu memberi arahan yang tegas kepada murid agar mereka membersihkan kelas terlebih dahulu sebelum memulakan pengajaran.
Guru praktikum juga hendaklah memberi ruang dan masa untuk murid berbuat demikian. Pastikan semua murid telah selesai membersihkan kelas dan berada di tempat masing-masing barulah guru praktikum boleh memulakan pengajaran. Hal ini sangat penting agar murid lebih bersedia dan memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang dibersihkan itu.
2.3.2    Menggunakan Teknik Penyoalan yang Berkesan
Menurut guru pembimbing berdasarkan masalah ke dua yang wujud dalam pengajaran guru praktikum yang berkaitan penyoalan, beliau menyatakan bahawa guru praktikum perlu menggunakan teknik penyoalan yang berkesan dengan berunsurkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Oleh itu, dalam menerapkan pengajaran dan pembelajaran yang berunsurkan KBAT, guru praktikum harus melaksanakan beberapa strategi berkesan bagi membimbing murid untuk berfikir secara KBAT. Antara salah satu teknik paling berkesan dalam memastikan pelajar juga berfikir secara KBAT adalah Teknik Penyoalan yang berkesan.
Antara ciri-ciri soalan yang berkesan yang disarankan oleh guru pembimbing ialah soalan yang diajukan kepada murid mestilah bermatlamat iaitu ditanya untuk mencapai tujuan tertentu. Selain itu, soalan perlulah dinyatakan dengan jelas agar murid memahami apa yang dinyatakan dan soalan juga bersifat ringkas. Pastikan soalan tersebut dinyatakan dengan seberapa sedikit perkataan yang mungkin agar murid mudah memahaminya.
Di samping itu, soalan tersebut bercirikan memprovokasi pemikiran di mana ia boleh merangsang pemikiran dan tindak balas. Soalan guru praktikum mestilah bersifat menyoal siasat iaitu melibatkan soalan yang membawa kepada soalan yang berikutnya dan mencungkil secara mendalam. Seterusnya yang paling memainkan peranan dalam menyoalkan murid ialah soalan tersebut hendaklah disesuaikan dengan tahap murid kerana tahap prestasi murid adalah berbeza-beza.


2.3.3   Persediaan Pengajaran yang Mantap
Berdasarkan masalah yang ke tiga iaitu semasa penyeliaan kali kedua oleh guru pembimbing, guru praktikal disarankan agar membuat persediaan pengajaran yang mantap dari segi bahan bantu mengajar di mana guru praktikal dikenal pasti tidak menyediakan soalan pengukuhan PT3 kepada murid sebagai latihan pengukuhan yang perlu dibuat di rumah. Oleh itu, guru pembimbing menyarankan agar guru praktikal membuat persediaan awal mengenai masalah ini.
Guru praktikal perlu menyediakan bahan bantu mengajar yang berbentuk soalan pengukuhan PT3 kerana pihak sekolah tersebut sangat menitikberatkan pengukuhan PT3 kepada murid yang bakal menduduki peperiksaan PT3 agar dapat memberi gambaran awal kepada murid terhadap soalan berbentuk PT3. Oleh itu, amat penting bagi guru praktikum untuk main peranan dalam menyediakan latihan pengukuhan ini agar matlamat sekolah berkaitan PT3 boleh direalisasikan.
Selain itu, guru praktikal seharusnya merujuk guru tetap untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan soalan peperiksaan PT3 agar guru praktikum dapat mengetahui mengenai bentuk dan jenis soalan yang patut diberikan kepada murid. Di samping itu juga guru praktikum boleh merujuk buku soalan peperiksaan sebenar. Perkara ini dapat membantu guru praktikum dalam penyediaan soalan latihan pengukuhan untuk diberikan kepada murid.

2.3.4   Susun Atur Semula Kedudukan Murid
Berdasarkan masalah ke empat iaitu yang wujud semasa penyeliaan kedua oleh guru pembimbing, langkah penambahbaikan yang disarankan oleh beliau ialah guru praktikum perlu main peranan untuk susun atur semula kedudukan murid dengan mengubah kedudukan murid lemah yang duduk di belakang kelas agar mereka duduk di hadapan kelas. Hal ini amat penting agar murid yang pendiam dan lemah akan lebih menyerlah dan boleh melibatkan diri secara aktif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
Di samping itu, kedudukan murid di dalam kelas perlulah bercampur antara murid pandai dengan murid lemah. Keadaan ini berperanan dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang baik di mana murid pandai dan murid lemah berada dalam satu kumpulan. Ini amat membantu murid lemah untuk terus maju dalam pembelajarannya kerana mereka akan lebih bersemangat apabila berada bersama murid pandai dan mereka akan berasa ingin setanding dengan murid pandai itu. Perkara sebegini dikata sebagai suntikan semangat kepada murid yang lemah tersebut.
Selain itu, guru praktikum juga perlu memberikan perhatian yang lebih kepada murid yang pendiam dan lemah ini dengan kerap bertanya kepada mereka dan membantu mereka menyelesaikan masalah pembelajaran. Perkara ini penting kerana dapat membantu proses pemikiran murid yang lemah itu agar menjadi lebih aktif dalam kelas.

2.3.5   Kuasai Ilmu Sepenuhnya
Menurut pensyarah yang menyelia guru praktikum, berdasarkan masalah yang wujud semasa diselia buat kali pertama beliau menyarankan agar guru praktikum menguasai sepenuhnya ilmu yang ingin diajar kepada murid. Sebagai seorang guru yang ditugaskan untuk mencurahkan ilmu kepada murid, guru praktikum seharusnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya.
Perkara ini dikatakan penting kepada guru praktikum kerana untuk memberi dan menyebarkan ilmu yang betul kepada murid, guru praktikum mestilah terlebih dahulu menguasai ilmu tersebut. Guru praktikum di nasihati agar mengulang kaji berkaitan ilmu yang ingin diajar kepada murid sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran bermula agar guru praktikum lebih yakin dengan ilmu di dada. Keadaan ini boleh mengelakkan guru praktikum daripada terlalu bergantung pada nota semasa memberi penerangan kepada murid semasa pengajaran dan pembelajaran.
Oleh itu, perancangan guru mestilah lebih kreatif dari segi mengadakan pelbagai persediaan, kemudahan dan sumber rujukan supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih bermakna dalam mendorong proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih sempurna.

2.4     Bahagian 4 : Rancang Semula Rancangan Pengajaran Harian

2.4.1   Rancangan Pengajaran Harian 1
Tarikh                          :  17 Ogos  2015
Masa                            :  4.30 - 5.35 petang
Tingkatan                    :  2 UKM
Bil. murid                    :  28 Orang
Tajuk                            : Anak Penggunting Rambut (cerpen) dalam Antologi Gema                                   Sepi Gadis Genius.
Bidang                        : Estetika
Model Pengajaran       : Langsung

Hasil Pembelajaran
Huraian Hasil Pembelajaran
HPU
10.0 Memahami dan memberikan respon peribadi tentang karya sastera.
HPK
10.6 Mengulas karya sastera dari aspek watak dan perwatakan, plot, gaya bahasa, dan sudut pandangan.
Aras 2 (iii)
Menghuraikan watak dan perwatakan dan latar masyarakat.

Objektif / hasil pembelajaran:
Pada akhir pelajaran, murid dapat :
1.      Menjelaskan sinopsis cerpen secara lisan
2.      Menghuraikan sekurang-kurangnya dua watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerpen “Anak Penggunting Rambut”  secara tulisan.

Pengetahuan/ Kemahiran Sedia Ada :
  • Pelajar telah membaca cerpen Anak Penggunting Rambut.
  • Pelajar telah mempelajari kaedah menganalisis aspek KOMSAS dalam drama semasa mereka dalam tingkatan satu.
Penyerapan :
·         Ilmu                  : Kesusasteraan Melayu
·         Nilai murni     : Ketabahan, kasih sayang, bertanggungjawab, kesabaran dan                       bersemangat.                                 
·         KBT                : Kecerdasan pelbagai, pembelajaran kontekstual
·         KBKK            : Kemahiran berfikir dan pemikiran kreatif dan kritis.
Kemahiran Bahasa      :           Mendengar, menulis dan bertutur.
Tatabahasa                  :           Kosa kata
Penggabungjalinan :
Huraian Hasil Pembelajaran Tingkatan 1
10.6  Aras 1 (vi) Memerihalkan watak-watak dalam karya.




Langkah Pengajaran dan Pembelajaran
Fasa dan Isi kandungan
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran
Alat/KBT/Nilai
Set Induksi
(5      minit)
·         Menarik minat murid
·         Menghadirkan murid dalam sesi P&P.
·         Menimbulkan perasaan ingin tahu pelajar
·         Guru menunjukkan gunting kepada pelajar.
  • Guru bersoal jawab dengan  murid mengenai benda yang ditunjukkan dan kaitkan dengan kerjaya sebagai penggunting rambut.
  • Guru mengaitkan jawapan pelajar dengan pelajaran pada hari ini.
BBM:
Gunting
KBT:
Kemahiran berfikir.
KBKK:
Menjana idea
Nilai:
Kesedaran diri
Rasional
Fasa 1: Pengenalan dan sorotan
(5 minit)
(Mengaktifkan pengalaman lalu)
Objektif:
Bercerita mengenai pengalaman berkaitan penggunting rambut.
·         Guru menyatakan ciri-ciri sebuah cerpen.
·         Guru mengedarkan sinopsis Anak Penggunting Rambut  kepada setiap murid.
·         Guru meminta murid membaca secara senyap sinopsis tersebut.
·         Guru menceritakan secara ringkas mengenai cerpen tersebut.
BBM:
Kertas sinopsis
KBT:
Kemahiran berfikir
KBKK:
Menjana idea.
Nilai:
Kerajinan
Rasional
Fasa 2 : Persembahan
(10 minit)
(Isi baharu diperkenalkan dan dihuraikan)


  • Guru menjelaskan berkaitan dengan cerpen seperti tema, persoalan, gaya bahasa,  nilai dan pengajaran.
  • Guru menekankan bahagian watak dan perwatakan untuk dijadikan aktiviti di dalam kelas.
  • Guru menerangkan maksud watak dan perwatakan serta jenis-jenis watak.
  • Guru memastikan pelajar faham maksud watak dan perwatakan serta jenis-jenisnya untuk panduan latihan kendiri.
KBT:
Kemahiran Belajar cara belajar
KBKK:
Mengenal pasti
Menghubungkaitkan
Nilai:
Kerajinan
Keyakinan
Fasa 3 : Latihan berpandu
(15 minit)
(Murid melakukan latihan konsep/kemahiran di bawah pengawasan guru)

·         Guru melekatkan beberapa keratan kertas yang mengandungi ayat sinopsis pada papan putih secara tidak teratur.
  • Guru mengarahkan murid untuk menyusun keratan ayat tersebut mengikut urutan sinopsis cerpen Anak Penggunting Rambut.
·         Murid dipandu oleh guru semasa menyusun ayat-ayat tersebut.
BBM:
Kertas A4, Keratan kertas, papan putih
KBT:
Kemahiran berfikir
KBKK:
Menjana idea
Nilai:
Bekerjasama
Keberanian
Fasa 4 : Latihan kendiri (15minit)
(Murid melakukan latihan menggunakan konsep/kemahiran mereka sendiri)
·         Setelah guru yakin terhadap latihan berpandu tersebut, guru memberikan latihan kendiri kepada murid.
·         Guru mengarahkan setiap murid mengenal pasti dan menulis watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerpen Anak Penggunting Rambut.
·         Guru menulis satu contoh jawapan mengenal pasti watak dan perwatakan dengan menggunakan ayat yang betul.
BBM :
Kertas A4
KBKK :
Berfikiran kritis
Nilai :
Berkeyakinan
Bersemangat
Fasa 5: Penaksiran
(5 minit)
·         Guru meminta wakil  murid untuk membaca hasil kerja mereka.
·         Guru menilai jawapan murid.
·         Kemudian guru mengedarkan latihan pengukuhan PT3 kepada murid sebagai kerja sekolah.
KBKK :
Menilai keputusan
Nilai :
Berani
Menghargai
Penutup (5 minit)

·         Guru meminta wakil murid untuk membuat rumusan terhadap pembelajaran pada hari ini.
  • Guru membuat kesimpulan secara keseluruhan dengan mengaitkannya dengan kehidupan sebenar.

Nilai :
Pembelajaran sepanjang hayat
2.4.2 Rancangan Pengajaran Harian 2
Tarikh                          : 24 Ogos 2015
Masa                            : 2.10-3.10 Petang (60 Minit)
Tingkatan                    : 2 UKM
Bil. Murid                   : 28 Orang
Tajuk                           : Langkah-langkah Memupuk Minat Membaca
Tema                           : Amalan Membaca
Bidang                                    : Interpersonal
Model Pengajaran       : Pembelajaran Berasaskan Masalah

Hasil Pembelajaran
Huraian Hasil Pembelajaran
HPU
2.0     2.0 Memberikan pendapat yang bernas sebagai sumbangan dalam perbincangan.
         HPK
2.2 Menghuraikan idea yag bernas secara kritis dan kreatif.
Aras 2 (ii)
Meneroka pelbagai kemungkinan idea yang dapat dijadikan penyelesaian masalah. 

Objektif / Hasil Pembelajaran
Pada akhir pelajaran murid dapat:
  1. Menyatakan sekurang-kurangnya satu isi berserta contoh secara lisan.
  2. Menulis satu perenggan karangan tentang langkah memupuk minat membaca denga menggunakan teknik IMPAK.
Pengetahuan Sedia Ada
  • Murid telah di ajar cara-cara menulis karangan semasa di tingkatan 1.
  • Murid telah didedahkan dengan amalan membaca.
Penyerapan
Ilmu                 :           Bahasa Melayu, Pengetahuan Am
Nilai                :           Bertanggungjawab, Prihatin, Berkeyakinan, Bekerjasama
KBT                :           Kemahiran berfikir
Kemahiran Bahasa  :  Mendengar, Bertutur dan Menulis
Sistem Bahasa             :  Kosa Kata – Ungkapan

Penggabungjalinan :
HHP : 12.2 Aras 1
(iii) Menentukan isi-isi penting yang releven dengan tajuk penulisan.


Langkah Pengajaran dan Pembelajaran
Fasa dan Isi kandungan
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran
Alat/KBT/Nilai
Set Induksi
(5 minit)


·         Guru menunjukkan replika burger di hadapan kelas.
·         Guru bersoal jawab dengan murid dan kaitkan dengan pembelajaran pada hari ini.
·         Murid yang lemah diberi perhatian dalam sesi soal jawab.
BBM:
Gambar
KBT:
Menjana Idea
Nilai:
Semangat
Fasa 1: Pengenalan dan sorotan
(10 minit)

(Mengaktifkan pengalaman lalu)
  • Guru mengedarkan nota tentang teknik impak.
  • Guru menerangkan dengan lebih lanjut berkaitan dengan gambar burger tersebut iaitu teknik impak.
  • Guru menjelaskan cara-cara menggunakan teknik impak dalam penulisan karangan.
  • Guru bertanya kepada murid yang lemah sama ada mereka faham atau tidak faham.
BBM:
Lembaran nota
KBT:
Kemahiran berfikir.
KBKK:
Menjana idea.
Nilai:
Bekerjasama
Rasional
Fasa 2 : Persembahan (5 minit)
(Isi baharu diperkenalkan dan dihuraikan)
Kaedah mencari idea dalam penulisan karangan.
  • Guru menunjukkan contoh perenggan karangan yang menggunakan teknik IMPAK untuk murid lebih memahaminya.
  • Guru menyuruh murid membaca dalam keadaan senyap dan sambil itu guru mendekati murid yang lemah untuk membantu mereka memahami setiap ayat dalam perenggan tersebut.
  • Kemudian guru dan pelajar sama-sama mengenal pasti setiap ayat dalam perenggan tersebut mengikut formula IMPAK.
BBM:
Kertas sebak
KBT:
Kemahiran Belajar cara belajar
KBKK:
Mengenal pasti
Menghubungkaitkan
Nilai:
Kerajinan
keyakinan
Fasa 3 : Latihan berpandu (15 minit)
(Murid melakukan latihan konsep/kemahiran di bawah pengawasan guru)
  • Guru memberikan tajuk karangan yang perlu dibuat oleh murid dengan menggunakan teknik IMPAK.
  • Guru dan murid berbincang mencari isi-isi penting mengenai langkah-langkah memupuk minat membaca.
  • Guru mencatat isi-isi penting tersebut dan murid diminta menyalin.
KBT:
Kemahiran berfikir
KBKK:
Menjana idea
Nilai:
Bekerjasama
Fasa 4 : Latihan kendiri (15minit)
(Murid melakukan latihan menggunakan konsep/kemahiran mereka sendiri)
  • Menulis sebuah perenggan dalam  karangan berdasarkan idea yang diperoleh.
  • Guru mengarahkan murid untuk menghasilkan satu perenggan karangan dengan menggunakan isi-dan idea yang telah dibincangkan.
  • Murid berlatih menulis perenggan karangan tersebut berpandukan teknik IMPAK yang telah diajar.
KBT :
Kemahiran belajar cara belajar
KBKK :
Menjana idea
Nilai :
Berkeyakinan
Bersemangat
Fasa 5: Penaksiran (10 minit)
·         Guru memilih 2 contoh penulisan perenggan yang baik daripada murid.
·         Guru dan murid membuat analisis dan penilaian terhadap perenggan yang ditulis oleh murid.
Nilai :
Berani
Rasional
KBKK :
Menilai keputusan
Penutup (5 minit)

·         Guru meminta wakil pelajar untuk membuat rumusan terhadap pembelajaran pada hari ini.
  • Guru membuat kesimpulan secara keseluruhan terhadap pembelajaran yang telah berlangsung.
Nilai :
Kerajinan
Keberanian

2.4.3   Rancangan Pengajaran Harian 3

Tarikh              :  25 Ogos  2015
Masa                :  2.10 – 3.10 petang
Tingkatan        :  2 UKM
Bil. murid        :  28 Orang
Tema               :  Kekeluargaan
Tajuk                : Cerpen ‘Warkah Daripada Ibu’ dalam Antologi Gema Sepi Gadis Genius.
Bidang             : Estetika
Model Pengajaran       : Langsung
Hasil Pembelajaran
Huraian Hasil Pembelajaran
HPU
10.0 Memahami dan memberikan respon peribadi tentang karya sastera.
HPK
10.6 Mengulas karya sastera dari aspek watak dan perwatakan, plot, gaya bahasa, dan sudut pandangan.
Aras 2 (iii)
Menghuraikan watak dan perwatakan dan latar masyarakat.

Objektif / Hasil Pembelajaran:
            Pada akhir pelajaran, murid dapat :
1.      Menjelaskan sinopsis cerpen ‘Warkah Daripada Ibu’ secara lisan.
2.      Menghuraikan sekurang-kurangnya dua watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerpen secara tulisan.

Pengetahuan/ Kemahiran Sedia Ada:
  • Pelajar telah membaca cerpen ‘Warkah Daripada Ibu’.
  • Pelajar telah mempelajari kaedah menganalisis aspek KOMSAS semasa mereka di tingkatan satu.

Penyerapan:
·         Ilmu                : Kesusasteraan Melayu
·         Nilai murni     : Ketabahan, Kasih Sayang, Bertanggungjawab, Kesabaran dan       
Pengorbanan.
·         KBT                : Kemahiran berfikir, Kecerdasan pelbagai
·         KBKK            : Menjana Idea, Menyusun Atur, Mengenal Pasti.

Kemahiran Bahasa      :  Mendengar, Menulis dan Bertutur.
Sistem Bahasa            : Kosa Kata, Istilah, Ejaan, dan Sebutan.
Penggabungjalinan :
7.4  Aras 1 (iv) Membaca pantas secara imbasan dan luncuran untuk mengenal pasti                                   maklumat.
Langkah Pengajaran dan Pembelajaran
Fasa dan Isi kandungan
Aktiviti Pengajaran Dan Pembelajaran
BBM/KBT/KBK/ Nilai
Set Induksi
(6 minit)
·         Menarik minat murid
·         Menghadirkan murid dalam sesi P&P.
·         Menimbulkan perasaan ingin tahu pelajar
·         Guru menunjukkan replika sampul surat di hadapan kelas.
·         Guru bersoal jawab dengan  murid mengenai sampul surat yang ditunjukkan.
·         Guru mengaitkan jawapan pelajar dengan pelajaran pada hari ini.
BBM:
Replika Sampul Surat
KBT:
Kemahiran berfikir.
KBKK:
Menjana idea
Nilai:
Rasional
Fasa 1: Pengenalan dan sorotan
(5 minit)
(Mengaktifkan pengalaman lalu)

Objektif
Bercerita mengenai pengalaman berkaitan ibu.
·         Guru menyatakan ciri-ciri sebuah cerpen.
·         Guru mengedarkan sinopsis Warkah Daripada Ibu kepada setiap murid.
·         Guru meminta murid membaca secara senyap sinopsis tersebut.
·         Guru menceritakan secara ringkas mengenai cerpen tersebut.

BBM:
Sampul surat
Kertas sinopsis
KBT:
Kemahiran berfikir.

KBKK:
Menjana idea.
Nilai:
Kerajinan
Rasional
Fasa 2 : Persembahan
(10 minit)
(Isi baharu diperkenalkan dan dihuraikan)


  • Guru menjelaskan berkaitan dengan cerpen seperti tema, persoalan, gaya bahasa,  nilai dan pengajaran.
  • Guru menekankan bahagian watak dan perwatakan untuk dijadikan aktiviti di dalam kelas.
  • Guru menerangkan maksud watak dan perwatakan.
  • Guru memastikan pelajar faham maksud watak dan perwatakan untuk panduan latihan kendiri.
KBT:
Kemahiran Belajar cara belajar
KBKK:
Mengenal pasti
Menghubungkaitkan
Nilai:
Kerajinan
Keyakinan
Fasa 3 : Latihan berpandu (15 minit)
(Murid melakukan latihan konsep/kemahiran di bawah pengawasan guru)



·         Guru melekatkan beberapa keratan kertas yang mengandungi ayat sinopsis pada papan putih secara tidak teratur.
  • Guru mengarahkan murid untuk menyusun keratan ayat tersebut mengikut urutan sinopsis cerpen Warkah Daripada Ibu.
·         Murid dipandu oleh guru semasa menyusun ayat-ayat tersebut.
BBM:
Kertas A4, Keratan kertas, papan putih
KBT:
Kemahiran berfikir
KBKK:
Menjana idea
Nilai:
Bekerjasama
Keberanian
Fasa 4 : Latihan kendiri (15minit)
(Murid melakukan latihan menggunakan konsep/kemahiran mereka sendiri)
·         Setelah guru yakin terhadap latihan berpandu tersebut, guru memberikan latihan kendiri kepada murid.
·         Guru mengarahkan setiap murid mengenal pasti dan menulis watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerpen Warkah Daripada Ibu.
KBT :
Kemahiran berfikir
KBKK :
Mengenal pasti
Nilai :
Berkeyakinan
Bersemangat
Fasa 5: Penaksiran (5 minit)
·         Guru meminta wakil  murid yang sukarela untuk membaca hasil kerja mereka.
·         Guru menilai jawapan murid.
KBKK :
Menilai keputusan
Nilai :
Berani
Rasional
Penutup (5 minit)

·         Guru meminta wakil murid untuk membuat rumusan terhadap pembelajaran pada hari ini.
  • Kemudian guru membuat kesimpulan secara keseluruhan dengan memberikan sedikit motivasi kepada murid.
Nilai :
Pembelajaran sepanjang hayat






3.0  KESIMPULAN
Berdasarkan penulisan refleksi ini, ia membantu guru praktikum dalam mengenal pasti masalah yang berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini amat berguna dan penting kerana ia mempengaruhi pencapaian murid dan sekiranya seseorang guru itu tidak melakukan refleksi terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung, ia pasti memberi impak kepada penerimaan dan pencapaian murid. Sekiranya perkara ini berlaku ia akan menjejaskan prestasi murid dan guru itu sendiri. Oleh sebab itulah refleksi dikatakan sangat penting dan berperanan dalam bidang pendidikan.
Di samping itu, tujuan refleksi dibuat adalah untuk mengenal pasti isu atau masalah yang mungkin dihadapi bagi tujuan penambahbaikan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengenal pasti kelemahan yang perlu diatasi dan kekuatan yang boleh dimanfaatkan. Dengan membuat refleksi juga guru praktikum boleh merangka tindakan penambahbaikan dari sudut peribadi dan profesionalisme.
Kesimpulannya, dengan adanya kemahiran membuat refleksi dapat membantu guru praktikum belajar secara optimum daripada kesilapan dan pengalaman lepas. Oleh sebab itu, refleksi juga dikatakan dapat membantu pembelajaran sepanjang hayat dan perkembangan peribadi serta profesion yang positif .Oleh hal yang demikian, penulisan refleksi perlu dijadikan sebagai budaya kerja dalam profesion perguruan supaya guru dapat mengambil langkah susulan dan membuat penambahbaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan lagi mutu pendidikan di negara kita.